Penglibatan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Awal Anak

Penglibatan dapat ditakrifkan sebagai usaha bersama-sama atau saling bantu-membantu antara dua pihak ataupun beberapa pihak. Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan kanak-kanak dapat meneguhkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dan membantu mengekalkan kejayaannya.

Sebagai ibu bapa, anda lebih mengenali anak anda, dan anda mempunyai kuasa untuk terlibat secara aktif didalam pengalaman prasekolah anak anda. Sekiranya dari pemerhatian anda, memberikan gambaran bahawa di situlah anak-anak anda akan dapat berkembang dengan sepenuhnya, maka anda telah pun menemui tadika yang betul.

Sekiranya kita mahu anak-anak berjaya dalam bidang pendidikan, kita perlu terlibat secara langsung dalam arus pembelajaran mereka. Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak secara tidak langsung memberikan kesan yang positif terhadap perkembangan anak-anak antaranya sikap bersungguh-sungguh dalam aktiviti pembelajaran di samping menunjukkan tingkah laku yang lebih baik dan seimbang.

Tadika Generasi Global berhasrat untuk mempunyai identiti sebagai tadika berasaskan komuniti. Walaubagimanapun identiti tersebut tidak akan  dicapai jika ibu bapa tidak bertindak aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di tadika. Penglibatan ibu bapa memberi kebaikan kepada kanak-kanak, guru-guru dan ibu bapa sendiri. Antara faedah yang dikenal pasti:

Kebaikan kepada kanak-kanak

  • Kanak-kanak dapat melihat peranan ibu bapa yang berbeza iaitu peranan sebagai guru.
  • Kanak-kanak dapat berkenal mesra, bersoal jawab dengan orang dewasa berkenaan dengan sesuatu pengalaman atau pengetahuan kerana ibu bapa datang daripada pelbagai pekerjaan.
  • Kanak-kanak dapat lebih perhatian daripada orang dewasa ketika menjalankan aktiviti kumpulan dimana nisbah kanak-kanak berbanding orang dewasa adalah kecil.

Kebaikan Kepada Ibu bapa

  • Ibu bapa dapat melihat tingkah laku anak di prasekolah.
  • Ibu bapa berpeluang mempelajari cara atau kaedah guru mengatasi masalah tingkah laku anak-anak.
  • Ibu bapa dapat memahami apa yang sudah, sedang dan akan diajar kepada anak mereka selama berada di sekolah.
  • Ibu bapa lebih memahami kurikulum dan aktiviti yang dipelajari oleh anak-anak.
  • Ibu bapa boleh menyambung aktiviti susulan ataupun aktiviti rangsangan.
  • Ibu bapa dapat bersoal jawab dan berkongsi masalah dengan guru.

Kebaikan Kepada Guru

  • Guru mendapat buah fikiran dan maklum balas secara terus daripada ibu bapa apabila hendak menjalankan aktiviti.
  • Guru dapat berkongsi masalah dan bersoal jawab bagi meningkatkan perkembangan anak-anak.
  • Guru boleh menjadi penghubung antara ibu bapa dan sekolah

Posted on December 29, 2011, in Artikel. Bookmark the permalink. Comments Off on Penglibatan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Awal Anak.

Comments are closed.

%d bloggers like this: